January 25, 2014

Terang Dan Terlindung Part IV: Gemuruh Rasa

“Berilah fatwa,
Kata-kata sakti;
Semoga hati lara,
Tidak aku rasai.”

MENIMBANG tanpa neraca. Menghukum tanpa bicara. Usah diajar hati berdalil sangka. Nanti ada jiwa rawan sayat melara.

Hakikat tiada setaraf menagih maksud yang paling dalam. Timbul tenggelam menelan ilham kata terpendam. Kesan halusinasi usah disalah erti. Aneh mimpi jangan dikias sendiri.

Bila ada adalah tidak ada. Bila apa yang diragu jauh dari nyata. Bila ikhlas kata disalah faham. Bila yang putih dilihat hitam.

Ibarat Jebat bermatian membela. Sebagai penderhaka juga dia dihina. Sahutan keluhan dan gelengan menderu-deru. Layak itulah dia termampu.

January 21, 2014

Dirgahayu Dewi

October 08, 2012

Pendar



KALAULAH dia boleh bangkit dari dasar dalam. Kalaulah dia dapat mencari sedikit cahaya dalam apa-apa hitam.

Namun tiada kira betapa pekat gelap, dia nampak ada sinarnya. Timbul dan berpaut pada satu papan harapan yang dia masih ada. Harapan untuk terus mengapung di permukaan dan ke atas bertemu kau di sana.

Namun andai kata takdir tiada bersama, dia ingin ucap terima kasih dan selamat tinggal.

Kerana dia fikir dia telah benar-benar mati. Dan ini adalah mungkin yang akhir kali. Dia hanya akan terus tenggelam, tenggelam, dan lebih tenggelam lagi.

* Image uploaded by Yanna Yelle.

July 09, 2012

Penyeri Cetera Mimpi Part II: Istiadat Malam


PETERANA dituruni. Bertuntun ganding selaput jemari. Iringan wangi cempaka menebar. Sukma jiwa memancar sinar.

Di kamar cumbu, di panggar adu. Serangkai beralun-alun menyatu. Bara restu cinta menguntum. Pancaindera mulai mengaum.

Bulan di langit mendengar desah. Mawar bergantungan berbau merah. Sepintas yang had tiada terlindung. Hangat dan harum bergabung.

Yang merayu; dirayu. Yang dirayu; merayu.

Persembahan penuh keikhlasan. Keluhuran dan ketulusan. Dalam khayal kasmaran tiada tertahan. Meresaplah ia di pusar keinsanan.

Melangsung pertarungan agung. Segar dan sengit.

July 01, 2012

Merayu Di Depan Pintu Cinta Agung


AWAN hitam berjejal-jejal melayang hujan. Mata petir memanah memeranjatkan. Bulan bercahaya hilang buram. Matahari malu-malu merah padam.

Dunia dililit dilingkar pelangi. Bumi tersenyum penuh berahi. Langit hilang akal tiada biru. Berbaris bidadari mati cemburu.

Menjadilah ia petanda. Gerbang cinta telah dibuka.

* Image uploaded by Yanna Yelle.

June 19, 2012

Bergetar Bibir Memanggilmu Part II: Burung Kertas


KAU dan dia seperti burung kertas. Mendarat ke lantai berpusing-pusing. Turun dari langit konkrit siling.

Di situ nampak seakan benih matahari. Terbit mekar di coklat anak mata kau memancar seri. Perlahan ia menjadi nyawa merebak ke seluruh hati.

Burung kertas tentulah dihuyung ganas. Diuji dengan seksaan prahara cinta memanas. Diduga dengan azab taufan asmara membuas.

Tetapi telah mula berlangsung ciuman antara tulang selangka. Bahasa rindu dan bahasa cinta. Merungut-rungut lembut di antara nafas berdua.

Kau dan dia mungkin burung kertas. Tetapi dia berjanji jika kau mahu mencuba. Kau dan dia boleh belajar untuk akhirnya terbang di udara.

January 27, 2012

Selamatkanlah


DIA menuju dasar. Bakal lemas hingga paru-parunya terasa terbakar. Berabu dengan cerita-ceritanya yang mekar.

Dia kebuluran nyawa. Bakal kebas hingga terbeliak anak mata. Bukan silap pandangan yang mengkhayal nyata.

Di lehernya mula ditumbuhi insang. Di antara kakinya ular-ular air bersarang. Sabar menanti harinya kau datang. Dan dia terus belajar untuk tidak terus tenggelam hilang.

Atau nanti suatu hari kau berjalan seorang diri. Kau lihat hantu menangis di atas pokok di malam sunyi. Itulah dia sesudah mati. Mengenang sumpah taat setia janji.

September 23, 2011

Untitled


MEMBUKA pintu gerbang Kerajaan Cinta sebenarnya mudah. Cuma ramai memilih jalan yang payah.

Ini bukan bermandraguna sakti. Sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampaui. Ibarat Jebat berjuang bertikam ke hulu ke hilir. Akhirnya nama buruk jua padanya mengalir.

Terbukti kebahagiaan tiadalah akan mudah-mudah dianugerah untuk dicapai. Ia harus dirampas DAN masanya harus sesuai.

September 10, 2011

Senandung Hari-hari Terakhir Part III


USIA dunia bakal berakhir. Sepatutnya peluh paling sejuk leluasa mengalir. Namun ketika masa sudah berhampiran. Tiada satu geletar dalam ketakutan.

Hari-hari telah sia-sia ditinggal. Hanya beberapa di hadapan tersisa bakal. Ada yang masih tergamak kau laku? Terus membatu dan sempurnakan segala yang kau tiada mahu?

Atau ingin kau tunggu pagi kiamat? Hingga terpegun semua mata melihat? Kerana tiada lagi boleh kau berdusta. Tidak sekali-kali di hadapan Dia.

Apa lagi terharap bila semua semakin ke pengakhiran. Gerhana tiga hari tiga malam bakal bersahutan. Menjelma dua matahari kiri dan kanan. Dan nanti kurma tiada lagi berbuah di Baisan.

August 15, 2011

Terang Dan Terlindung Part III: Malam Terlalu Panjang (Untuk Memahami Bahasa Cinta)


MAYA atau mimpi, ia seakan sama dengan kenyataan. Semuanya wujud atas dasar yakin percaya pada khayalan.

Namun apa lagi mampu ditutur. Bila jujur zahir dibalas hambur. Bila ikhlas puji disalah erti. Bila halus kata dianggap mengeji.

Aduhai! Entah bila roda ini akan berputar. Lama sudah digilis di dasar.

August 08, 2011

Hutan Part II: Beradu Pada Pangkal Hawar


INILAH dikhabarkan asbab dia sering ke sana. Belantara itu telinga segala cerita hiba. Seperti tiada tempat lagi dia mengadu. Di sebalik pohon rahsia tempat awan menutupi, dia bersendiri-sendiri, bermalam-malam, berminggu-minggu.

Bergagah mencari padanya ikhtiar perlindungan. Dari segala satwa, mambang, dan bunian. Untuk beristirehat dalam suasana hairan harmoni. Namun lebih aman dari seksaan dunia sebelah sini.

Sekitarnya terlindung, keperluannya terkantung. Ayam hutan jadi teman pagi bersenandung. Dibuah sang burung, dimadu sang lebah. Akar banir dirata tarah, dijadikan batu-batu air akan gerbang rumah.

Musim demi musim berlalu.

Bila nanti tiba hari mengucap selamat tinggal dunia. Saat beradu pada pangkal hawar melelap mata. Segala satwa, mambang, dan bunian menyeru-nyeru. Menjadilah dia penghulu penunggu di situ.

March 10, 2011

Simetri Sakti Mandraguna


SALAM menjadi pembuka bicara. Bersulam keras angin yang mencengkam-cengkam dada.

Laut dijunjung tiada segi. Gunung dijunjung tiada sendi. Seberat janji yang dikendong. Amanah dan sumpah yang ditanggung.

Rentaka di kiri, lela di kanan. Pandak di kaki, sundang di badan. Alangkan garuda lagi ditunggang. Inikan pula anak enggang.

Aduhai! Secuma kilas harubi sudah terhirisan? Belum lagi keris terahsia yang tersimpan.

March 01, 2011

The Tale Of S90 Part XI


YANG manis-manis mesti dikhabarkan. Walau cuma kebohongan. Yang maung-maung wajib disembunyikan. Walau suatu kebenaran.

Ah! Mudasir sebahagian bangsa mulia-mulia dari kayangan. Walau setitik pahit tiada mungkin mahu ditelan.

Namun tiadalah harus patut tuan-tuan percaya kepada setiap perihal pengkisahan. Sudah namanya itu hikayat dongengan.

Titirlah gendang hamburlah suara. Palulah canang taburlah kata. Gemparkan semesta dunia peri si empunya cetera ramah berdusta. Oleh kerana hal itulah dia acap tiada dipercaya.

February 23, 2011

Meditasi Embun Pagi Part II: Hobat Mantera Buluh Perindu


WAHAI buluh perindu! Bertari bertandaklah di dalam dulang. Ketika cinta merindu. Di situ jugalah dia datang.

Ah! Buluh sudah mendesak. Berahi mulai tertegak. Rindu makin menyesak. Semua dia diagak.

Jangan lagi berleha-leha wahai buluh perindu. Jangan derhaka. Jangan sampai dia merayu-rayu. Dia sudah kempunan bercinta.

February 10, 2011

Terang Dan Terlindung Part II: Peranan Jiwa Asmara


KEMATIAN harus tinggal di setiap kewujudan penciptaan. Tetapi bukan suatu dogma mengatakan ia harus tinggal di dalam rangkulan. Tunggulah di saat paling terdalam, tersunyi, dan tersempurna. Di lautan berbaldu hitam, suatu panggilan akan menyapa.

Lantas jiwa-jiwa yang terasa terselamat akan bersangka, “Semua ini bohong!”. Hanya kerana menganggap panas di langit tiada mungkin datang mendung. Tunggulah di saat paling terdalam, tersunyi, dan tersempurna. Di hari yang akan tenggelam, pada malam tiada terpenghujungnya.

Zaman akan mengatakan, “Pujangga ini berdusta!”. Hanya kerana menganggap tuah tiada menyentuh setiap wajah manusia. Namun waktu akan mengatakan, “Malam ini milik kau dan dia!”. Diberkati di saat paling terdalam, tersunyi, dan tersempurna.

January 01, 2011

The Tale Of S90 Part X: Season Finale


ARAKIAN tersebut sudah berpuluh-puluh purnama adanya hamba menghidang Hikayat Dewa Sanjungan dan Senandung Kesuma Dewi untuk ditandang jadi ayapan tuan-tuan yang berbeza bijaksana. Hatta sudahnya ada tuan-tuan yang menelaah akan sedikit banyak pengkisahannya.

Adalah perkara tiada terselesaikan itu bukanlah petaka. Sudah menjadi rencana jua bagi Tuhan mengatur ia. Kalau bukan sekarang mungkin nanti. Kalau bukan yang itu mungkin yang ini.

Maka jika ada halnya terkait dengan tuan-tuan hingga membawa kepada bersedih-sedih sungkawa, tuan-tuan jadi bermohonlah. Terutama tuan-tuan yang sedia setia dalam rubsyah.

Adalah jua Tuhan Rabbul Izzati mengatakan hal ini. Telah disampaikan oleh junjungan besar nabi. Baginda itu pembawa pesan seluruh umat bumi segenap penjuru. Berbunyi sebahagian ayat enam puluh surah Al Mukmin itu, “Mohonlah kepada Aku, dan Aku akan menyahuti kamu.”

Itulah tuan-tuan cukup hamba perikan. Andai hamba berlebih-lebih tiada had nanti jatuh derhaka pula pada empunya gerangan.

Syahdan adanya maka izinkan hamba mencanang perkhabaran kepada tuan-tuan seluruh negeri. Adalah dikhabarkan telah sampai musim pengakhirannya hikayat dan senandung ini. Namun jadi rendah diri adanya di hati hamba kerana bukanlah layak hamba sebagai pembawa khabar selain empunya balairung seri. Seyogia dan moleklah diberi kepada empunya berlipur-lipur sendiri nanti.

Akhirul adalah besar harapan hamba semoga kiranya hikayat dan senandung ini kelak jadi dongengan dan bualan apakala di zaman tuan-tuan jua. Segala mana elok pekerti ditelanlah, segala mana honar raga diluahlah ia.

December 22, 2010

Terang Dan Terlindung


“Tusukan harum cempaka,
Memutar seluruh alam;
Capai bahasa kita,
Antara rindu dendam.”

“Janji dulu dilafaz,
Masih lekat tersimpan;
Di dalam rongga nafas,
Untuk dihela senang.”

BERLALU petang sia-sia. Waktu bernilai tiada. Sekitarnya mulai berkarat. Debu di rambut semakin memberat.

Kucing beransur tua. Emas sekati jadi bahara. Di luar rumput meninggi. Jemu dia lihat seribu kali pelangi.

Aduhai! Dia yang mengejar, dia sendiri yang terperangkap.

* Credited to Dewi Kumbang.

December 21, 2010

Kasih Bukan Sekadar Cinta


KERLIP masih beberapa butir di angkasa raya; merembes-rembes. Embun masih beberapa cubit di halaman saujana; menitis-nitis.

Itu maksudnya malam masih muda. Jangan dulu lena memejam mata. Kerana dia ingin menyampai petanda.

Gelap malam tiada mengasbab mata jadi layu. Dingin angin tiada mengasbab tulang jadi ngilu. Biar sahaja tingkap itu. Kau akan mendengarnya bila sampai waktu.

Tiada apa menyekat bila dia mula bersuara. Kerana suaranya suara sukma. Dan kau tiada perlu bertelinga.

Hanya dengarkan di detak-detak hati. Dan di denyut-denyut nadi.

* Inspired by Ylmarmin Ah-Haidan.

December 20, 2010

Penyeri Cetera Mimpi


BUAIAN khayalan pentasan peterana.

Mengakibat keinginan dan kemahuan di sudut serata. Di selatan hati dan terkini di utara. Di timur juga. Barat antara yang mungkin, bahkan menyentap di tengah-tengah hatinya.

Namun dia sedar di dalam perlumbaan seperti ini, tiada pingat untuk tempat kedua.

Ah! Bila lagi agaknya tahi bintang akan melintas?

December 10, 2010

Pendaman Part II: Tiang Seri Halimunan


BAHAGIAN yang paling sukar menjadi dinding batu tembok adalah ia tiada boleh hancur. Ia harus berdiri kukuh. Menunjang kuat dan memaksi teguh.

Ia tiada boleh hancur.

Andai ia goyah hingga membiar penyandar terlepas dari bahunya lalu runtuh (terpecah berjuta keping hingga tiada lagi dapat menyatu semula) maka penyandar yang memerlukannya untuk menahan diri mencari kuat juga turut rebah.

Pengakhirannya akan meluluhkan seperti kepingan-kepingan kristal rapuh yang tiada mampu lagi tercantumkan.

Batu tembok tiada boleh hancur.

  

Back to TOP