January 27, 2012

Selamatkanlah


DIA menuju dasar. Bakal lemas hingga paru-parunya terasa terbakar. Berabu dengan cerita-ceritanya yang mekar.

Dia kebuluran nyawa. Bakal kebas hingga terbeliak anak mata. Bukan silap pandangan yang mengkhayal nyata.

Di lehernya mula ditumbuhi insang. Di antara kakinya ular-ular air bersarang. Sabar menanti harinya kau datang. Dan dia terus belajar untuk tidak terus tenggelam hilang.

Atau nanti suatu hari kau berjalan seorang diri. Kau lihat hantu menangis di atas pokok di malam sunyi. Itulah dia sesudah mati. Mengenang sumpah taat setia janji.

September 23, 2011

Untitled


MEMBUKA pintu gerbang Kerajaan Cinta sebenarnya mudah. Cuma ramai memilih jalan yang payah.

Ini bukan bermandraguna sakti. Sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampaui. Ibarat Jebat berjuang bertikam ke hulu ke hilir. Akhirnya nama buruk jua padanya mengalir.

Terbukti kebahagiaan tiadalah akan mudah-mudah dianugerah untuk dicapai. Ia harus dirampas DAN masanya harus sesuai.

September 10, 2011

Senandung Hari-hari Terakhir Part III


USIA dunia bakal berakhir. Sepatutnya peluh paling sejuk leluasa mengalir. Namun ketika masa sudah berhampiran. Tiada satu geletar dalam ketakutan.

Hari-hari telah sia-sia ditinggal. Hanya beberapa di hadapan tersisa bakal. Ada yang masih tergamak kau laku? Terus membatu dan sempurnakan segala yang kau tiada mahu?

Atau ingin kau tunggu pagi kiamat? Hingga terpegun semua mata melihat? Kerana tiada lagi boleh kau berdusta. Tidak sekali-kali di hadapan Dia.

Apa lagi terharap bila semua semakin ke pengakhiran. Gerhana tiga hari tiga malam bakal bersahutan. Menjelma dua matahari kiri dan kanan. Dan nanti kurma tiada lagi berbuah di Baisan.

August 15, 2011

Terang Dan Terlindung Part III: Malam Terlalu Panjang (Untuk Memahami Bahasa Cinta)


MAYA atau mimpi, ia seakan sama dengan kenyataan. Semuanya wujud atas dasar yakin percaya pada khayalan.

Namun apa lagi mampu ditutur. Bila jujur zahir dibalas hambur. Bila ikhlas puji disalah erti. Bila halus kata dianggap mengeji.

Aduhai! Entah bila roda ini akan berputar. Lama sudah digilis di dasar.

August 08, 2011

Hutan Part II: Beradu Pada Pangkal Hawar


INILAH dikhabarkan asbab dia sering ke sana. Belantara itu telinga segala cerita hiba. Seperti tiada tempat lagi dia mengadu. Di sebalik pohon rahsia tempat awan menutupi, dia bersendiri-sendiri, bermalam-malam, berminggu-minggu.

Bergagah mencari padanya ikhtiar perlindungan. Dari segala satwa, mambang, dan bunian. Untuk beristirehat dalam suasana hairan harmoni. Namun lebih aman dari seksaan dunia sebelah sini.

Sekitarnya terlindung, keperluannya terkantung. Ayam hutan jadi teman pagi bersenandung. Dibuah sang burung, dimadu sang lebah. Akar banir dirata tarah, dijadikan batu-batu air akan gerbang rumah.

Musim demi musim berlalu.

Bila nanti tiba hari mengucap selamat tinggal dunia. Saat beradu pada pangkal hawar melelap mata. Segala satwa, mambang, dan bunian menyeru-nyeru. Menjadilah dia penghulu penunggu di situ.

  

Back to TOP