December 10, 2009

Bergetar Bibir Memanggilmu


JERITAN mengoyak bibir-bibir keringnya hingga merekah. Suara yang dia sendiri mendengar tiada pernah. Dipaksa keluar segala bunyi bersahut ratap dan darah.

Gerak bibir tiada perbezaan, kata apa ingin dilontar dia tiada tahu. Antara hiba dengan ketiadaadilan, yang mana harus diraung dahulu?

Suara di udara tersiat bagai dikelar-kelar. Tekaknya berpintal terbakar. Berjerih sendi berdenyut urat menyambar-nyambar. Dan rintihnya berulang-ulang mendatar.

Terhenti tiba-tiba segala jeritan. Senyap hampir membuat tubuhnya hilang kawalan. Batuk berbaur dengan sedan.

Diatur semula nafas perlahan. Dan di saat itulah bibirnya bergetaran.

December 01, 2009

Sirat Tersurat


DIA berdiri membuka mata. Bingung merenung dunia. Dia tertanya mengapa di sini tempatnya. Siapa sebenarnya dia.

Dia menjadi satu dengan alam. Di dalam keseksaan dia terbenam. Tiada tahu apa-apa setelah merasai segala-segalanya. Melihat dunia dengan mata yang terbuka. Berjemur dengan kesedihan tiada peri. Memadamkan nyalaan api.

Tenggelam. Terjunam. Menyaksi kekeliruan dunia.

November 10, 2009

Surat Tersirat


DIA duduk menutup mata. Tenang merenung dunia. Dia tahu mengapa di sini dia berada. Dia kenal siapa dia.

Dia menjadi satu dengan alam. Di dalam kesentosaan dia membenam. Tahu segala-segalanya tanpa merasai apa-apa. Melihat dunia dengan menutup mata. Berjemur dengan kebahagiaan tiada peri. Menghidupkan nyalaan api.

Terawang-awang. Terbang. Menikmati kesempurnaan dunia.

October 23, 2009

Paksakan Cinta Ini


MALAM berarak. Gelap, hitam, dan sejuk tersentak-sentak.

Dia duduk sendiri-sendiri. Lalu bintang membisik di hati. “Ada yang telah membuatmu menangis, akankah kau meninggalkannya di situ?”

Dia tunduk diam-diam. Kemudian bintang dipandang tajam. “Wahai bintang, akankah kau meninggalkan langitmu itu?”

October 10, 2009

Yang Diajar Tentang Ketabahan Serta Kesabaran Di Dalam Mencari


JAWAPAN kadangkala tiada menjawab kepada persoalan. Jawapan kadangkala tiada membantu seperti yang diharapkan.

Malah menyusahkan. Bahkan membingungkan. Dan yang terburuk mampu menghala si pengharap jawapan ke arah kebinasaan.

October 01, 2009

Lari


BERADA di dalam dunia ini kita menggantung diri kepada mereka yang kita percayai. Berharap kepada mereka setiap impian dan berharap kepada mereka setiap ketakutan.

Tetapi apa terjadi bila kepercayaan itu pergi? Ke mana kita bila setiap yang dipercaya lenyap di hadapan mata sendiri?

Bila semua sudah terasa seakan hilang. Dan masa hadapan tiada ketahuan. Bila segala nur tiada lagi terang. Dan keberadaan diri dalam ancaman.

Apa yang mampu kita lakukan adalah; lari.

September 01, 2009

Senandung Hari-hari Terakhir Part II: Meditasi Embun Pagi


“Have you heard the tale of the serpent? That awaits the golden throne. Healing me with the supreme glory. And in eternal path shall we meet.”

DIA renung gelapnya awan-awan. Seperti yang diramalkan. Dan bintang-bintang memancar menyilau terang. Bahunya memberat dengan janji-janji yang disandang.

Menanggung kelaparan tujuh hari. Bermeditasi penyembuhan embun pagi. Di hamparan padang emas menggemerlap mata. Lihat! Ada burung hitam besar pemberi petanda.

Suara-suara yang terngiang; memekakkan dan kejam.

Dia teruskan perjalanan penyembuhan. Burung hitam besar di atas kepala terbang meneman. Memberi panduan supaya dia tiada tersasar. Menyusur angin yang bertiup mendatar.

Suara-suara yang terngiang; melemahkan dan tetap kejam.

August 10, 2009

Kecelaruan Kognitif


BERPUSAT di ubun-ubun dan meledak tanpa daya. Lalu melonggar setiap penyambung sinaps dalam otak kepala. Jadi pecah dan runyam tiada tara. Jiwa menyebati setiap kekeliruan segala.

Kesukaran mengawal desakan dan dorongan. Juga bisikan hati yang semakin tiada beraturan.

Kecelaruan tiada mungkin hilang hanya dengan sebutir antipsikotik yang dilinting dipilin. Atau imipramine atau doxepin atau amitriptyline.

Sehingga di dalam tidur tetap sahaja tubuh tergeletar, terkeringat, dan terkerunyuk. Ah! Agak-agaknya dia masih belum teruk.

August 02, 2009

Pergelutan Berahi


DEWA Mambang, Dewa Hutan. Kekasih hati Orang Bunian. Malam ini dia kerinduan.

Maka bergelutlah berahimu agar tiada tidur tujuh malam.

Daun sirih daun tengkawang. Kalau kau suka menyirih dan suka menerawang. Akan disampaikanlah hasrat berahinya yang tiada terkandang.

Kalau tiada sampai dilapor nanti kepada Raja Dewa Mambang!

August 01, 2009

Menyusun Ulang Doa Yang Tiada Pernah Khusyuk


DIA rajuti hati, jantung, dan fikiranmu. Tiada kau bernafsu. Tiada kau berkehendak selain dia yang satu. Harus kau tunduk cinta berahi cuma kepada dirinya itu.

Kau ingat menangis kau rindu merintih. Kau tidur terseksa kau jaga berpedih. Kau terkenang-kenang kau tergila-gila. Harus kasih hanya kepada dirinya.

July 23, 2009

Penawarjuna Part II


BAKAR-BAKAR si pasir tanah. Terbakarlah. Dia bakar mata hati jantung kau hingga merekah. Dibakar dengan panah sakti Pencemar Maruah.

Membakar batu, batu belah. Membakar gunung, gunung runtuh. Dia bakar mata hati jantung hawa nafsu kau hingga berdarah. Kena hancur panas setiap inci tubuhmu luluh.

Gila berahilah kau kepada dia. Kau gilalah berahi kepada dia. Tiada boleh kau senang diam. Seperti pasir ini terbakar tiada padam. Jika kau tidur, bangun jaga. Jika kau jaga, bangun jalan merata.

Datang kau kepadanya. Mempersembah dirimu jua.

July 01, 2009

Mula Permulaan


DARI mana segala punca?

Pencarian ini perlu untuk memecah teka-teki. Bila persoalan paling mudah tiada pernah terjawab lagi. Mengapa kita masih di sini? Apa erti semangat dalam diri? Mengapa kita berimpian dan berilusi? Atau mungkin lebih baik jika kau dan dia tiada tahu tentang apa segalanya yang terjadi?

Tiada mencari, tiada merindu, tiada setia. Itu bukan fitrah manusia. Bukan juga manusia yang berhati. Itu bukan sebab mengapa manusia wujud di sini.

Pencarian ini perlu untuk memecah teka-teki kehidupan. Tetapi pengakhirannya apa yang akan terjadi jika hati manusia cuma mampu memahami makna hanya pada detik-detik paling terkecil yang tiada tersembunyikan?

Tetaplah ada di antara kau dan dia. Di dalam bayang, di dalam sinar, di mana-mana. Adakah mereka tahu apa yang tersiratnya?

June 10, 2009

Obsessed Part III


LIHAT jika kau masih kenal dengan suara yang pernah menyuara. Bisikan rayuan hati pujuk diri yang menjerit di telinga. Menuntut penukaran yang lebih baik. Menuntut takdir yang lebih baik. Dan menuntut hari esok yang lebih baik.

Lihat jika kau masih kenal cahaya yang pernah mencahayai. Pelangi berwarna yang bersinar untuk kau dan dia kongsi. Kejayaan boleh menjadi kebahagian. Kejayaan boleh menjadi kebencanaan. Kejayaan bergantung kepada apa yang boleh terjadi.

Cabaran terakhir dalam hidup. Permainan yang kau reka. Mainkan cara yang terbuka.

Cabaran terakhir dalam hidup. Perjalanan yang kau tempa. Tiada jalan yang kedua.

* Inspired by Shamsudin Ali.

June 02, 2009

Obsessed Part II: Senandung Penggodaan


DIGODA dan dibutakan hidup oleh makhluk yang kononnya berkuasa. Tiada sedari tetapi mereka ada. Pandangan mata adalah tipuan segala. Bisikan kata menuli telinga.

Kepuasan dan kepedihan, kekerasan dan kemarahan, keserakahan dan keghairahan, semuanya berdiri sama tinggi. Mati di dalam sukma dan dominan di dalam hati. Kehidupan yang dipenuhkan dengan janji-janji. Cuma sedikit menjadi penyimpan dan yang lain melempari.

Dipenjara di dalam sangkar kenafsuan. Kau khianati setiap kemahuan dan keinginan. Fantasi ditawan oleh pusaran air yang beku. Mimpi-mimpi dijebak di dalam paya yang kering layu.

Diperangkap di tengah lautan yang mengabusi. Dia menderita hingga hampir mati. Nyalaan godaan seperti bakaran yang membakar hangus. Dan luka itu menyiat pula segala seksa sengsara halus-halus.

* Inspired by Shamsudin Ali.

June 01, 2009

Yang Lain Part II: Persamaan Lengkung Frustrasi


PANDUAN telah diberi dan pilihan dalam genggaman. Kini kau pemilik bagi setiap masa yang telah dia korbankan. Cabaran dan soalan yang datang tiada perlu kau bimbang. Kerana ada yang ada dan ada yang menunjuk peluang.

Waktu telah tiba dan dia akan sentiasa bertelinga. Kau boleh menukar pilihan tanpa alasan apa-apa. Tetapi dunia akan melutut sepi bila semua cerita dia dedahkan. Tubuh tiada akan lagi berdiri di atas kaki bila setiap rahsia dia bukakan.

Dia adalah kau dan kau adalah dia. Dia hidup di dalam tanpa ruang untuk kau sembunyi rupa. Dia di dalam minda dan dia di dalam hati. Kau akan terus mendengarnya sehingga hari kematian kau tiba.

* Inspired by Shamsudin Ali.

May 23, 2009

Yang Lain


DIA mencuba untuk menghurai dan menyelesai teka-teki tanpa kunci kata. Imaginasi bukan sahaja boleh menjadi penyelamat bahkan boleh menjadi pemisah kepalanya menjadi dua. Betul atau salah tiada akan pernah sama bagi mereka. Minda kau mengajar untuk bercakap benar dan suci. Tetapi mendengar pula yang lain bercerita tentang khayalan-khayalan dan peri-peri. Dan mungkin kau rasakan berbohong boleh menjadi penyelamat diri dari kata-kata yang keji.

Kebenaran adalah yang sepatutnya kau hebah kepada semua. Tapi kau malu tentang kebenaran segala. Lalu penghinaan menjadi musuh. Lojiknya dengan hanya satu hembusan fantasi, yang lain mampu sahaja kau bunuh. Dan sepatutnya lebih banyak kau bercerita maka lebih tinggilah kau berada. Tetapi kau menjatuh meremuk diri menjadi kepingan-kepingan kecil dengan sengaja.

Kau berdusta dan berbohong lalu yang lain merayakan kejayaan. Hidup dalam serba salah kerana didera oleh ketiadasedaran. Jauh mana mampu kau pergi malah berapa banyak kisah mampu kau cerita? Jika terfikir untuk mementingkan diri mengapa tiada difikirkan untuk dirinya juga?

Andai kau berkata benar maka amanlah tanpa dosa. Penderitaan diri yang dihukum oleh makhluk-makhluk yang dengki dan hina. Kau tahu kelemahan dia bila berhadapan dengan wajah serba salah. Tiada dia dihormati lagi dan diisolasi oleh bayang-bayang sendirinya yang kalah.

“Khabarkan di mana aku. Khabarkan kerana aku keliru. Khabarkan apa yang telah dilihat mata. Khabarkan kerana aku telah buta.”

Yang lain boleh mengajar kau berdusta. Yang lain boleh menawarkan perjanjian. Yang lain boleh melepas diri mereka dari kesalahan. Tetapi kau tiada akan dapat lari dari dosa.

Yang lain boleh berkata apa sahaja. Yang lain boleh mengajar ketiadabersalahan. Kau boleh melepas dari kedosaan. Tetapi kau tiada akan dapat lari dari dunia.

* Inspired by Shamsudin Ali.

May 10, 2009

Entri Untuk Dia Part III: In The Middle Of A Heartbeat


WAJAH lembut beramarah tiada. Berwatak tenang hilang honar raga.

Pekerti, pekerma diraja. Bersimpuh, bima diwani. Berkata, suka cita. Melepas duka, sutera mewarni.

Seroja di langit. Kemboja layupan di darat. Airmata hidangkan dengan senyum. Matahari jadi salju dayu-dayu.

April 23, 2009

Isolasi Hari Lahir


KAU pasti tiada percayakan. Kek yang dulu masih lagi dia simpan.

April 05, 2009

The Reprise: Entah Ini Sindrom Apa


DIA marah besar bila bermula adegan rindu-merindui. Hatinya hancur-hancuran bila akal mati. Perjuangan hebatnya melawan rasa takut dalam diri. Takut dia setakut-takutnya.

Di mana salah yang terlakukan? Sedemikian tulus dibalas sedemikian? Hembusan nafas sekuat mana lagi yang mampu mengurang beban?

Sakitnya sakit tiada tara. Pedihnya terisi setiap rongga. Setelah sekian banyak yang dikorban demi menjaga. Pengorbanan yang melibatkan semua rasa dan cita.

Dia tercari-cari jalan untuk menghilang rasa galau yang terus merongrong batin ketika mata memberontak, meronta-ronta, meminta-minta satu kelibat. Galau yang tiada terbendung hanya mampu berhenti ketika tidur yang beberapa saat.

Ah! Ini bukan luka di tangan yang mampu disembuh dengan antiseptik.

Entah. Mungkin ada yang mengerti dan faham. Atau mungkin ada yang sangat mengerti dan sangat faham.

Kudos to the parent in killing their children slowly for the sake of loving them.

April 04, 2009

The Reprise: Hutan


DI HUTAN itu cerita-cerita, kenangan-kenangan, dan kisah-kisah terus teringat, terlipat, dan tersimpan.

Sekitarnya masih tiada berubah. Bezanya kini cuma dia sahaja yang termenung di sendiri-sendiri.

Dalam duduk termenung sendiri-sendiri dia tertunggu-tunggu. Manalah tahu kalau ada gajah gemuk yang sukakan tebu. Monyet bising yang sukakan batu. Atau ada harimau lapar yang sukakan dirinya itu.

April 03, 2009

The Reprise: Entri Untuk Pari-pari


PARI-PARI, di mana kau? Tiadakah kau tahu ada sesuatu yang telah berlaku?

Pari-pari, dia hampir tiada daya. Mahu dibenam seluruh tubuhnya di laut sana.

Pari-pari, apakah kau terlalu asyik dengan dunia? Sehingga kau terlupa untuk menjaganya?

Pari-pari, dia sedang diseksa. Usahakan penawar sumpahan bisa.

April 02, 2009

Tafsiran Kerut Wajah


APA yang menampak tiada seluruhnya lagu.
Apa yang tertinggal sepenuhnya rayu.

Apa yang menampak tiada semuanya sesuatu.
Apa yang tertinggal sepenuhnya pilu.

Apa yang menampak tiada seluruhnya merdu.
Apa yang tertinggal sepenuhnya sayu.

Apa yang menampak tiada semuanya sendu.
Apa yang tertinggal sepenuhnya rindu.

April 01, 2009

The Tale Of S90 Part IX: Entri Untuk Nujum Part II


SEGALA juana yang bersih menantikan. Semua juana yang putih mendoakan. Seluruh juana yang simpati bersedia meraikan. Menanti ditabal Raja Sa Hari Dewa Sanjungan. Bakal kembali cahaya berterang-terang di Istana Bunyi-bunyian.

“Wahai jemparing tersakti. Jika benar namamu Pencemar Maruah nama diberi. Jika benar bukti bersakti. Tunjuklah kesaktian. Tunjuklah kehancuran.”

“Naga Bakaran, naga kebencian! Di mana letaknya belas kasihan?”

“Jika bersungguh niatmu, dipanah tuan hamba menggigil mati. Dipaku lidah disiat kulit kaki. Dibenam tuan hamba di arus laut merah, dikering tuan hamba di tiang sula berdarah!”

Tanah dijangkau gelombang dibelah. Busur ditarik jemparing ditilik.

March 23, 2009

The Tale Of S90 Part VIII: Entri Untuk Nujum


WAHAI Nujum Bastari! Nujumkanlah mimpi ini.

Dari Negeri Seberang Paya tersergam istana. Ditinggal-tinggal meredah badai samudera. Bersendiri-sendiri tiada dia bertentera. Berluncur Bahtera Bayang-bayang setia. Membelah taufan dan arus segala.

Bahtera dipaku di pelabuhan. Garuda menjadi barang kenaikan. Puncak Bukit Petri bakal saksi bencana kejadian. Busur digenggam bertari di awan. Terpancar kesaktian Dewa Sanjungan.

Dan berdentum suaranya.

“Ayahanda Naga Bakaran, si naga serakah! Bertekuklah dan bersujudlah.”

“Serah kembali jasad Kesuma Dewi. Terpisah hamba membenam janji. Sebelum dipanah tuan hamba menjalar mati!”

March 12, 2009

The Tale Of S90 Part VII: A Dream A Hymn


SATU full moon at night. A dream. Dewa Dewi seperti di syurga with lovely flowers.

Dewa dan Dewi sepasang of beauty. Dancing on this cold breezing moon. By the side of buluh perindu. Hear the forbidden simfoni.

A pattern, a mockery, a hymn. Under the langit biru yang gelap. Sihir words spoken with lidah yang keji. Mystical arrival of Si Naga sharpened claws.

Wahai Tuhan of the tremendous throne. Punish Dewa dan Dewi di dalam mimpi ini. So Dewa dan Dewi would escape the real suffering.

March 11, 2009

Kesakitan Ini Bila Akan Imun


DIA duduk terkulai. Perjalanannya seperti ke satu tempat yang tiada sampai-sampai. Dia lelah tetapi tetap berjalan dengan bersungguh. Langkah yang sudah beribu hari menjadi semakin jauh.

Entah siapa yang bakal datang merantai mengikat kaki dari terus diangkat. Entah siapa yang bakal mendekat.

Dia beragak-agak bila akan imun kesakitan ini. Membayang-bayang diri bersayap dan terbang tinggi. Berkepak beraja terawang. Menggulung-gulung langit, bulan, dan bintang.

Dia berangan-angan supaya tubuh tiada patuh lagi kepada segala kesakitan yang membedal. Semoga pembuluh-pembuluh darah tiada lagi berasa gatal. Agar jantung tiada lagi menyala kemarahan. Dan berharap otak pula semakin meringan.

Bila? Entah. Senyum masih tanpa rupa. Ketawa masih tanpa kata.

March 10, 2009

Entri Untuk Dia Part II: Baku Karama


PANCUR nikmat gemalai jerembun. Tiada perlu jera hanya daya. Ia ada di dalam jiwa. Ia amarah di dalam sifat kelembutan.

Pasti jeran sekeliling. Pasti berjerih sendi. Dua hala jemawa. Pada istiadat malam.

Seakan capai kejora. Dia sarung jemala ratunya. Bangga akan kelasa. Bangga akan dilahir petra.

Seruan kasih pesona lara. Syahdu kepiran baku karama. Rumusan sari alam membina kacapuri. Mustika satwa baku karama.
* Inspired by Wan Barchiel.

March 03, 2009

Entri Untuk Dia (Kembalikan Hidup Yang Aku Rindu)


KAU mencahayai. Walau sinar masih setitik, tetapi jika di bawa kepada kegelapan, ia tetap akan bersifat menerangi.

Kau penawarjuna. Kau ada di dalam jiwa.

Kau dan dia. Tiada boleh dipisah antaranya. Andai dipisah, ianya tiada jadi apa. Bahkan boleh menangis salah satunya.

Ah! Fine and defy.

* Inspired by Ylmarmin Ah-Haidan.

March 02, 2009

Bersembunyi Dalam Sunyi Tidak Berbunyi


“Aduhai kekasih hijabmu di sini. Mahsyur rupamu di mata kalbi ini. Berbaringan diusik rindu azali.”

SUNYI ini walau tiada berbunyi tetap saja memekakkan. Pekaknya menyentap pengharapan. Menahannya menggigil-gigil. Ragu mula memanggil-manggil.

Dia berkeinginan untuk keluar dari ruang sembunyi. Bebas dari kesakitan dirinya yang mereka nikmati. Mencuba bangun dan beringsut. Perlahan tetapi sekurang-kurangnya dia bergerak walau berkeriut.

Kepingan-kepingan papan dia bentuk menjadi sampan. Tetapi ke mana pula hendak dia dayungkan? Akhirnya hanya mampu duduk tunduk merenung lubuk biru. Menumpang kesedihan ikan-ikan kecil yatim piatu.

Janji? Janji mungkin cuma sepotong kata kosong. Imaginasi tanpa kebenaran yang didukung. Kata cuma sia-sia. Halusinasi belaka.

Aduhai! Segala kalimah ini siapalah yang mengerti?

March 01, 2009

Ketika Mata Memberontak, Meronta-ronta, Meminta-minta Satu Kelibat


PURNAMA di kayangan mengintip dari luar jendela. Gelap, hitam, dan sejuk tersentak-sentak. Berwirid rindu di penghujung diam. Mencari celah untuk keluar dari kehilangan ruang rasa dalam raga.

Apa yang menampak tidak semuanya sendu.

Dia mematung. Mencuba meneropong bintang dengan tangan kosong. Mengintai-intai sudah sampai manakah agaknya segala doa. Sambil saling bertukar pandangan dengan Tuhannya. Memohon simpati meradai cinta.

Apa yang tertinggal sepenuhnya rindu.

Hati berombak berbadai berhempas. Dua putih air menitis bersahutan. Bertahan-tahan tiada juga diam. Pedih menyedih teramat dalam. Sementara seraut wajah terus-terusan memalu jiwanya.

Wahai Tuhan, datangkanlah seorang penyeka.

February 12, 2009

Bertahan Dalam Masyghul


TERASA setiap keluhan, ratapan, dan sesalan semakin melilit-lilit sesakan nafas. Itu belum lagi ditambah soalan-soalan yang masih tiada terjawab puas. Hampir terkorban jiwa, hampir terputus nadi. Soalan-soalan mengapa begitu dan kenapa tiada begini.

Suara-suara dalam hati semakin nyata.

“Kalau mahu menyerang, bukan sekarang. Nanti dulu. Himpunkan segala mantera.”

“Kalau mahu menyerang, jangan sekarang. Tunggu dulu. Kumpulkan segala tenaga.”

“Bertahanlah diri. Bertahan untuk beberapa waktu lagi. Bertahanlah tetapi jangan sampai mati.”

Mati rasa, dalam masyghul dia bertahan. Membayang kasih, dalam malam hitam kelam berselimut kegelapan. Dalam hati pualam berangti bertinggal kesepian.

“Dear God, can we talk?”

February 11, 2009

Mengarca Hiba Minda Bersaru


DIA ke hutan itu petang tadi. Di sisi paya duduk sendiri-sendiri. Bersedih-sedih dan bercucur-cucur air mata membasah-basah pipi. Tiada tergambarkan hati yang sudah lama berangti.

Sambil memanggil-manggil nama Tuhan, dia memujuk-mujuk diri.

Dia hanyutkan jiwa dengan bersatu bersama alam. Bunga-bunga hutan kembang pasparagam. Matahari menyuluh sangat pegari. Ternyata di hutan tiada yang sepi.

Para belalang mencuba melompati akar. Semut-semut kecil berperahu daun damar. Sesekali ikan-ikan timbul bermain udara. Dia menanti juga, mudah-mudahan ada ular bisa yang mahu menjadikannya sebagai mangsa.

Dalam berkhayal-khayal, dia teringat hikayat semalam.

Hikayat Dewi Jadian yang pernah hidup tapi kosong, bernyawa tapi terpaksa. Namun akhirnya kegagahan membuat diri terbina semula. Dia jadi cemburu dengan kegagahan itu. Hingga mula membanding-banding dengan betapa semakin menghilangnya kegagahannya dahulu.

Dia duduk lagi sendiri-sendiri. Dia mengajak dirinya mengarca hiba. Menyelami betapa pahitnya minda bersaru. Dan semakin berat dia rasakan lagi ketika daun-daun jatuh berguguran menyentuh bahu.

“Tiadakah kau tahu yang aku bersungguh-sungguh rindu?”

“Searching for the answer of the pray. When will we see ourselves again?”

* Inspired by Hikayat Dewi Kumbang.

February 10, 2009

Mereka Tidak Semestinya Menang


KADANG-KADANG dia berkelakar sendiri-sendiri. Memerhati gelagat mereka riang bertari. Apalah yang dibangga dengan sangat. Cuma kemenangan sementara yang mereka dapat.

Pertarungan ini tiada adil. Kemenangan mereka kemenangan bersihir.

Di sisinya keris masih tersimpan. Peluru meriam masih dirahsiakan. Dan obor api masih belum dinyala. Kerana pertarungan akhir masih belum bermula.

Dia tiada fikir maruah yang akan tercela. Aib yang bakal ternganga. Atau pekat arang yang nanti menghitam muka.

Sepertinya dia kehabisan pilihan. Apa yang dia fikir hanya ada satu tujuan. Dan tujuan itu harus dia selesaikan.

People will do anything to win love.

* Inspired by Elizabeth Wong’s nude pictures scandal.

February 09, 2009

Teriakan Ini Kekal


TERIAKAN ini akan kekal sentiasa. Ia menjadi sebahagian hidupnya.

Tiada mengira kesakitan ini seperit mana. Dia akan terus hidup untuk tinggal di dalamnya. Dalam penyerahan melihat pengitaran kehidupan. Dalam kepayahan meneruskan pengembaraan.

Teriakan ini akan kekal sentiasa. Ia menyimbolkan tahap tertinggi dalam setia.

Kau dan dia telah menjelajah keintiman diri. Dan dia sedar tentang penerusan janji-janji. Teriakan ini kenal penyeksaan yang terhebat. Yang tiada had.

Teriakan ini akan kekal sentiasa. Walau ia akan membawa kepada kematiannya. Mereka akan terus hidup dengan memakan kesalahan yang mereka lakukan kepadanya. Dan penderitaannya akan sentiasa menghantui mereka.

February 08, 2009

Senandung Hari-hari Terakhir


BERIKAN dia hari ini kerana esok adalah waktu yang terlalu lama.

Dia semakin melemah. Mencari itu tiada mudah. Tetapi menunggu itu lebih payah.

Mereka mengatakan waktu akan mengubati segalanya. Masalahnya tanpa kau di sisi, waktu seakan terhenti lama.

February 07, 2009

Datanglah, Pulanglah, Dan Genggamlah Janji


GENGGAM sahaja. Usah gelisah. Persetan mereka. Setiap nafas dan darah.

Pulang sahaja. Jangan peduli. Dia menanti. Setiap malam dan pagi.

Datang sahaja. Tiada perlu ragu. Dia menunggu. Setiap ketukan pintu.

Raikan cinta. Menangis saja di pangkuannya. Kerana dia masih punya air mata yang tersimpan. Untuk sama-sama kau kongsikan.

February 06, 2009

Full To The Brim Part II: Locked Inside My Head


SETIAP kali selepas puas memikirkan kau. Ia pasti melaju.

Dan dia tertanya-tanya. Mengapa mesti keluarnya si air mata.

Air mata berkongsi pilu, “Seperti ada sesuatu yang sangat utama di ruang matamu. Sesuatu yang lebih utama sehingga aku merasakan tiada lagi tempat untuk aku.”

February 05, 2009

Aku Benci Kerinduan Dan Kesepian Ini


“Aku benci kerinduan ini. Aku rindu kesepian ini. Dan aku sepi kebencian ini.”

“Aku sepi kerinduan ini. Aku rindu kebencian ini. Dan aku benci kesepian ini.”

“Aku benci kebencian ini. Aku rindu kerinduan ini. Dan aku sepi kesepian ini.”

February 04, 2009

Frustrasi Kesuma Dewi Part V


KAU tiada, pernah dia biarkan Super Supreme Stuffed Crust Pizza mengeras di atas meja. Ada dia tinggalkan Iced Caramel Macchiato yang telah dibayar tiada dihirup.

Kau tiada, pernah dia berikan kepada entah siapa-siapa Strawberry Swirl Cheesecake yang sudah dibungkus. Ada dia tersimpan Vochelle Fruit & Nut In Dark Chocolate sehingga berkulat.

Kau tiada, pernah dia sekadar berbual dengan Kenny’s Chicken Meal Original. Ada dia biarkan Baskin Robbins Banana Royale berubah air.

Kau tiada, semua perjamuan, semua hidangan di dunia, seperti tiada ertinya.

February 03, 2009

Dan Pesan Nenek Itu Benar


INI pesan semasa kecil. Sekecil mana dia ketika itu dia tetap teringat kerana ini pesan yang diulang-ulang. Pesan yang didodoi-dodoi.

“Sayangi semua makhluk yang bernyawa. Kalau berjanji genggam sampai mati. Sayangi semua makhluk yang bernyawa. Kalau berjanji genggam sampai mati.”

Setelah dia sedikit besar neneknya berpesan lagi. Pesan ini juga tetap dia teringat walau pesan ini tiada diulang-ulang. Tiada didodoi-dodoi.

“Kau cucu, bila nanti tiba masa kau akan diuji. Akan ada kejahatan syaitan angkara makhluk yang dengki dan iri. Lawanlah mereka dengan akal. Lawanlah mereka dengan sabar.”

“Tapi cucu, bila kau tiada mampu menawar kejahatan itu pulanglah ke Negeri Suro Dan Boyo. Cari sesepuhmu di sana. Mereka akan sudi membantu dan selalu bersedia.”

“Dan cucu, bila kau sangat memerlu pulanglah sahaja ke Negeri Bundo Kanduang ke desa nenek sebelah ibumu. Tetap akan ada orang-orang sakti di situ.”

Aduhai nenek! Ia benar-benar telah terjadi hari ini. Tapi bila akal dan sabar seperti sudah tiada terasa dia jadi bingung. Maksudnya melawan sihir harus dengan sihir?

February 02, 2009

Frustrasi Kesuma Dewi Part IV


DIMULAI dengan kerinduan. Yang membeban. Melelahkan jiwa sememang telah lelah tanpa perlu dilelah-lelahkan lagi.

Ditengahi dengan semangat. Yang menggenggam. Menimang janji yang dulu sama-sama berjanji tiada akan memungkiri perjanjian.

Diakhiri dengan harapan. Yang menyungguh. Menguji hati hingga dasarnya jika diperhatikan seperti sudah hilang perhatian.

February 01, 2009

Alunan Irama Langut Jejakmu


“Di luar halaman masih ada jejakmu. Mencebik, bila wajah dipanah matahari.”

“Di ruang tamu juga ada jejakmu. Sesedap membantal ribaku, menonton siaran.”

“Di bilik mandi lagi ada jejakmu. Mengeluh air yang dingin, memanggil mengajak untuk menghangatkan.”

“Di tempat tidur tetap ada jejakmu. Membelai usap rambutku, setelah aku terlena.”

January 26, 2009

Mimpikan Aku


“Kau kenal aku. Aku selalu mementingkan perkara yang lojik dan menggunakan akal. Tapi mimpi yang satu ini sangat aneh. Ajaib dan pelik. Ini sudah tiada lojik dan paling kurang akal.”

“Dalam mimpi aku melihat aku. Merasai kesengsaraan aku. Bahkan aku mendengar aku.”

“Jeritan putus asa, kerinduan, dan tangisan yang bergegar dalam mimpi ini tetap mewujudkan perasaan yang sangat sukar untuk aku terjemahkan.”

“Dalam mimpi, aku melihat aku. Dalam mimpi, aku akhirnya mati. Dan dalam mimpi, aku menguburkan aku berkali-kali.”

January 25, 2009

Bisikan Rayuan Hati Pujuk Diri


BILA Tuhan mengatur sesuatu.

Ini adalah cubaan. Ini adalah dugaan. Ini adalah ujian. Ini adalah proses. Dan ini adalah rencana.

Tapi ini juga menjadi tanda tanya besar dalam kepala.

January 24, 2009

The Tale Of S90 Part VI


Bab Sembilan: Yang Masih Belum Terselesaikan (Alternate Ending)

SUATU hari saat asyik, jantung Dewa tertusuk pena. Kuasa Dewata Mulia Raya mengatasi segala. Ketika menitis ke bumi darah pertama, Kesuma Dewi terbebas dari sumpahan yang melanda.

Dewi bersendu, “Yang aku perlukan hanyalah titisan darahmu. Yang kau korbankan demi membuktikan bahawa kau benar-benar mencintai aku. Tetapi mengapa kau memberikan lebih dari itu?”

Wahai Tuhan, pandanglah mereka yang benar-benar memohon untuk dikasihani. Jauhkan mereka dari pengakhiran sebegini. Engkau aturkanlah kesudahan yang baik untuk mereka. Satukanlah mereka semula. Selagi hayat masih tersisa.

January 23, 2009

The Tale Of S90 Part V


Bab Tujuh:

MAKA berkudalah Dewa Sanjungan ke hulu sana ke hilir sini. Mencari penawar sumpahan dalam tubuh Dewi. Boleh dihitung pada yang simpati. Yang lainnya hanya tawa tiada percaya sambil mencaci. Dewa terbeban bila akalnya mati.

Bab Lapan:

AKHIRUL ke Seberang Paya, ke Istana Bunyi-bunyian, Dewa kembali. Ditulislah akan dia ayat-ayat pengikis sumpahan setiap hari. Dibaca ulang sebagai mantera doa pemulih Dewi. Berbekal semangat yang masih tersisa dalam diri. Baginya janji harus digenggam sampai mati.

Bab Sembilan: Yang Masih Belum Terselesaikan

SUATU hari saat asyik, jari Dewa tertusuk pena. Kuasa Dewata Mulia Raya mengatasi segala. Ketika menitis ke bumi darah pertama, Kesuma Dewi terbebas dari sumpahan yang melanda.

Dewi bersendu, “Yang aku perlukan hanyalah titisan darahmu. Yang kau korbankan demi membuktikan bahawa kau benar-benar mencintai aku.”

January 22, 2009

Malam Ini Aku Hadiahkan Untuk Kau


“Aku hadiahkan malam ini dan segala yang datang bersamanya istimewa untuk kau.”

“Bulatan terang yang kau sebut bulan. Titik-titik kecil berkelip yang kau sebut bintang. Dan hitam tiada berwarna yang kau sebut gelap.”

“Pejamkan raga. Tidurlah lebih lena. Biarlah aku sendiri-sendiri yang resah berjaga.”

“Menulis bulan, menulis bintang, menulis gelap.”

January 21, 2009

Dia Belum Kembali


“Dia belum kembali pagi ini. Mungkin nanti. Maka bertahanlah tangisku.”

“Dia belum kembali hari ini. Mungkin esok. Maka bersabarlah air mataku.”

January 20, 2009

Jika Nanti Sudah Tidak Ada Lagi Entri


ITU bermakna dia sudah mati sepenuhnya.

January 19, 2009

The Tale Of S90 Part IV


Bab Empat:

LALU terpisahlah Dewa Sanjungan dan Kesuma Dewi angkara amukan keji. Dibenam Dewa di bawah laut, dicengkam cakar Si Naga diamnya Dewi. Menyeringai Si Naga matanya hijau-kehijauan merah-kemerahan. Ketawa suaranya buram-keburaman biru-kebiruan. Hatta para penyihir dan pengata ikut hina meraikan.

Bab Lima:

SEPARUH nyawa, Dewa bangkit dari bawah laut dalam. Mulalah dia menyimpan dendam. Mencari ilham melepaskan geram. Dalam pencariannya bertemulah Kuda Kencana. Dibawanya terbang ke alam ghaib menilik Dewi dari sana.

Bab Enam:

ADALAH bayang Dewi dalam setempurung embun. Menggigil-gigil marahlah Dewa melihat diri Dewi yang disanjung. Telah Si Naga upah para penyihir menyumpah Dewi berubah batu. Seperti hati Si Naga, Dewi beku. Sihir dalam tubuh mendarah daging jadi tepu!

January 18, 2009

The Tale Of S90 Part III


Bab Satu:

DEWA dewi mencari cinta. Dewa dan Dewi akhirnya sama-sama tergoda. Di hutan itu di Seberang Paya, sebuah Istana Bunyi-bunyian dibina. Dewa dan Dewi berkasih-kasih laksana. Berkhayal mereka sepuas mahunya.

Bab Dua:

SEBERMULA hidup syurga sejahtera. Dewa dibelai puja, lagi pula Dewi ditatang sepenuh kasihnya. Tiadalah sedari pada yang cemburu, dengki, dan iri mula menyusun petaka. Betapa dahsyatnya ketika lidah tiada dijaga. Kebohongan, celaan, bahkan fitnah ketika terhambur tiada terasa.

Bab Tiga:

BERBUNYI amuk Si Naga Bakaran tiada semena. Didakwanya Dewi hamba miliknya, harus menurut tunjuk kuku segala. Lupalah dia akan tiada mutlak memiliki Dewi selain Dewata Mulia Raya. Lengkaplah amuknya dengan para penyihir puaka. Berbaris juga para pengata.

Sekali pandang mana tahu di sana ada bencana. Banyak lagi kisahnya.

January 17, 2009

Mimpikan Pari-pari


“Pari-pari datang dalam mimpi. Katanya dia tahu apa yang sedang aku lalui.”

“Dia akan datangkan kepada aku seratus pengganti. Lengkap dengan mahkota dan seiras wajah.”

“Ah! Tiada perlulah wahai pari-pari. Aku hanya perlukan seorang dia.”

January 16, 2009

Bulan Pagi


ITU ada bulan setia yang masih belum turun dari semalam. Walaupun muram masih gagah bergantung pada sekawan awan.

Entahlah. Agaknya masih menanti sesuatu yang tiada juga datang.

January 15, 2009

The Tale Of S90 Part II


Memulai permulaannya dengan penuh daya dan cita. Beroleh bersama mengecap setitis bahagia.

Tapi yang setitis itu juga dirampas secara paksa!

Aduhai! Dunia seperti apa yang sedang didiami ini?

January 14, 2009

Dedication To Him Part II: Invincible


“Follow through make your dreams come true. Don’t give up the fight. You will be all right. Because there is no one like you in the universe.”

“Don’t be afraid what your mind conceives. You should make a stand. Stand up for what you believe. And tonight we can truly say together we’re invincible.”

“During the struggle they will pull us down. But please let’s use this chance to turn things around. And tonight we can truly say together we’re invincible.”

“Do it on your own makes no difference to me. What you leave behind. What you choose to be. And whatever they say your soul’s unbreakable.”

* Inspired by Matthew Bellamy.

January 13, 2009

Dedication To Him (Jangan Menyerah Part II)


KETIKA secara kasar mata dan lojik akal seakan tiada pengharapan lagi. Ketika tekanan semakin terasa hebat. Ketika senyuman seperti memberat. Ketika nafas sentiasa mendengus. Dan ketika semua sudah mulai menuduh.

Janganlah kehilangan semangat. Kerana pengasihan itu sentiasa ada. Jangan menyerah. Jangan pernah.

Dan kepada semua yang sedang berjuang di dalam setiap pertempuran di medan perang kehidupan. Berita baiknya Dia tiada pernah tertidur.

January 12, 2009

Q 23:26


“My God, support me because they have denied me.”

“Wahai Pemeliharaku, tolonglah aku kerana mereka mendustakan aku.”

January 11, 2009

3 Petua Menghilangkan Rindu


GILA? Manalah ada. Dia cuma mampu:

  1. Menahan nafas.
  2. Menggigit bibir sehingga berdarah.
  3. Menggenggam kuat kaca-kaca dari cermin yang pecah.

January 10, 2009

The Tale Of S90


MULA-MULA ditulis pada sehelai tisu nipis.
Kemudian disalin pada sekoyak kertas.
Lalu ditaip lagi ke papan kunci dan melayar ke monitor.
Suatu hari disebar di Internet.
Dan yang terakhir diukir ulang di batu nisan.

January 03, 2009

Hutan


DI HUTAN itu cerita-cerita, kenangan-kenangan, dan kisah-kisah terus teringat, terlipat, dan tersimpan.

Sekitarnya masih tiada berubah. Bezanya kini cuma dia sahaja yang termenung di sendiri-sendiri.

Dalam duduk termenung sendiri-sendiri dia tertunggu-tunggu. Manalah tahu kalau ada gajah gemuk yang sukakan tebu. Monyet bising yang sukakan batu. Atau ada harimau lapar yang sukakan dirinya itu.

January 02, 2009

Before The Morning Light (Sebelum Cahaya)


“I remember a heart full of dreams. Where do you go love? The silent journey that you’ve been through alone. Steel your heart love.”

“Do you remember the humble dawn dews that accompanied you before the morning light? Do you remember the smoothly breezing wind that always caressed you love?”

“A steel heart that always keeps its promises. Hold my hand love. I won’t go away and leave you alone. I would guard your heart love.”

* Inspired by Sabrang Mowo Damar Panuluh.

January 01, 2009

The End Of The Depressive Monsoon


“Underneath the stars I’ll wait for you. For the new hope soon to be born. Maybe this year will be better than the last.”

“They told me I was crazy. But the doctors had cleared me and said it was just a case of too much missing you.”

TERKADANG dirinya terasa ingin gembira segembira yang boleh. Walau hakikatnya tiada apa yang boleh dia gembirakan.

  

Back to TOP