October 08, 2012

Pendar



KALAULAH dia boleh bangkit dari dasar dalam. Kalaulah dia dapat mencari sedikit cahaya dalam apa-apa hitam.

Namun tiada kira betapa pekat gelap, dia nampak ada sinarnya. Timbul dan berpaut pada satu papan harapan yang dia masih ada. Harapan untuk terus mengapung di permukaan dan ke atas bertemu kau di sana.

Namun andai kata takdir tiada bersama, dia ingin ucap terima kasih dan selamat tinggal.

Kerana dia fikir dia telah benar-benar mati. Dan ini adalah mungkin yang akhir kali. Dia hanya akan terus tenggelam, tenggelam, dan lebih tenggelam lagi.

* Image uploaded by Yanna Yelle.

July 09, 2012

Penyeri Cetera Mimpi Part II: Istiadat Malam


PETERANA dituruni. Bertuntun ganding selaput jemari. Iringan wangi cempaka menebar. Sukma jiwa memancar sinar.

Di kamar cumbu, di panggar adu. Serangkai beralun-alun menyatu. Bara restu cinta menguntum. Pancaindera mulai mengaum.

Bulan di langit mendengar desah. Mawar bergantungan berbau merah. Sepintas yang had tiada terlindung. Hangat dan harum bergabung.

Yang merayu; dirayu. Yang dirayu; merayu.

Persembahan penuh keikhlasan. Keluhuran dan ketulusan. Dalam khayal kasmaran tiada tertahan. Meresaplah ia di pusar keinsanan.

Melangsung pertarungan agung. Segar dan sengit.

July 01, 2012

Merayu Di Depan Pintu Cinta Agung


AWAN hitam berjejal-jejal melayang hujan. Mata petir memanah memeranjatkan. Bulan bercahaya hilang buram. Matahari malu-malu merah padam.

Dunia dililit dilingkar pelangi. Bumi tersenyum penuh berahi. Langit hilang akal tiada biru. Berbaris bidadari mati cemburu.

Menjadilah ia petanda. Gerbang cinta telah dibuka.

* Image uploaded by Yanna Yelle.

June 19, 2012

Bergetar Bibir Memanggilmu Part II: Burung Kertas


KAU dan dia seperti burung kertas. Mendarat ke lantai berpusing-pusing. Turun dari langit konkrit siling.

Di situ nampak seakan benih matahari. Terbit mekar di coklat anak mata kau memancar seri. Perlahan ia menjadi nyawa merebak ke seluruh hati.

Burung kertas tentulah dihuyung ganas. Diuji dengan seksaan prahara cinta memanas. Diduga dengan azab taufan asmara membuas.

Tetapi telah mula berlangsung ciuman antara tulang selangka. Bahasa rindu dan bahasa cinta. Merungut-rungut lembut di antara nafas berdua.

Kau dan dia mungkin burung kertas. Tetapi dia berjanji jika kau mahu mencuba. Kau dan dia boleh belajar untuk akhirnya terbang di udara.

January 27, 2012

Selamatkanlah


DIA menuju dasar. Bakal lemas hingga paru-parunya terasa terbakar. Berabu dengan cerita-ceritanya yang mekar.

Dia kebuluran nyawa. Bakal kebas hingga terbeliak anak mata. Bukan silap pandangan yang mengkhayal nyata.

Di lehernya mula ditumbuhi insang. Di antara kakinya ular-ular air bersarang. Sabar menanti harinya kau datang. Dan dia terus belajar untuk tidak terus tenggelam hilang.

Atau nanti suatu hari kau berjalan seorang diri. Kau lihat hantu menangis di atas pokok di malam sunyi. Itulah dia sesudah mati. Mengenang sumpah taat setia janji.

  

Back to TOP