February 12, 2009

Bertahan Dalam Masyghul


TERASA setiap keluhan, ratapan, dan sesalan semakin melilit-lilit sesakan nafas. Itu belum lagi ditambah soalan-soalan yang masih tiada terjawab puas. Hampir terkorban jiwa, hampir terputus nadi. Soalan-soalan mengapa begitu dan kenapa tiada begini.

Suara-suara dalam hati semakin nyata.

“Kalau mahu menyerang, bukan sekarang. Nanti dulu. Himpunkan segala mantera.”

“Kalau mahu menyerang, jangan sekarang. Tunggu dulu. Kumpulkan segala tenaga.”

“Bertahanlah diri. Bertahan untuk beberapa waktu lagi. Bertahanlah tetapi jangan sampai mati.”

Mati rasa, dalam masyghul dia bertahan. Membayang kasih, dalam malam hitam kelam berselimut kegelapan. Dalam hati pualam berangti bertinggal kesepian.

“Dear God, can we talk?”

February 11, 2009

Mengarca Hiba Minda Bersaru


DIA ke hutan itu petang tadi. Di sisi paya duduk sendiri-sendiri. Bersedih-sedih dan bercucur-cucur air mata membasah-basah pipi. Tiada tergambarkan hati yang sudah lama berangti.

Sambil memanggil-manggil nama Tuhan, dia memujuk-mujuk diri.

Dia hanyutkan jiwa dengan bersatu bersama alam. Bunga-bunga hutan kembang pasparagam. Matahari menyuluh sangat pegari. Ternyata di hutan tiada yang sepi.

Para belalang mencuba melompati akar. Semut-semut kecil berperahu daun damar. Sesekali ikan-ikan timbul bermain udara. Dia menanti juga, mudah-mudahan ada ular bisa yang mahu menjadikannya sebagai mangsa.

Dalam berkhayal-khayal, dia teringat hikayat semalam.

Hikayat Dewi Jadian yang pernah hidup tapi kosong, bernyawa tapi terpaksa. Namun akhirnya kegagahan membuat diri terbina semula. Dia jadi cemburu dengan kegagahan itu. Hingga mula membanding-banding dengan betapa semakin menghilangnya kegagahannya dahulu.

Dia duduk lagi sendiri-sendiri. Dia mengajak dirinya mengarca hiba. Menyelami betapa pahitnya minda bersaru. Dan semakin berat dia rasakan lagi ketika daun-daun jatuh berguguran menyentuh bahu.

“Tiadakah kau tahu yang aku bersungguh-sungguh rindu?”

“Searching for the answer of the pray. When will we see ourselves again?”

* Inspired by Hikayat Dewi Kumbang.

February 10, 2009

Mereka Tidak Semestinya Menang


KADANG-KADANG dia berkelakar sendiri-sendiri. Memerhati gelagat mereka riang bertari. Apalah yang dibangga dengan sangat. Cuma kemenangan sementara yang mereka dapat.

Pertarungan ini tiada adil. Kemenangan mereka kemenangan bersihir.

Di sisinya keris masih tersimpan. Peluru meriam masih dirahsiakan. Dan obor api masih belum dinyala. Kerana pertarungan akhir masih belum bermula.

Dia tiada fikir maruah yang akan tercela. Aib yang bakal ternganga. Atau pekat arang yang nanti menghitam muka.

Sepertinya dia kehabisan pilihan. Apa yang dia fikir hanya ada satu tujuan. Dan tujuan itu harus dia selesaikan.

People will do anything to win love.

* Inspired by Elizabeth Wong’s nude pictures scandal.

February 09, 2009

Teriakan Ini Kekal


TERIAKAN ini akan kekal sentiasa. Ia menjadi sebahagian hidupnya.

Tiada mengira kesakitan ini seperit mana. Dia akan terus hidup untuk tinggal di dalamnya. Dalam penyerahan melihat pengitaran kehidupan. Dalam kepayahan meneruskan pengembaraan.

Teriakan ini akan kekal sentiasa. Ia menyimbolkan tahap tertinggi dalam setia.

Kau dan dia telah menjelajah keintiman diri. Dan dia sedar tentang penerusan janji-janji. Teriakan ini kenal penyeksaan yang terhebat. Yang tiada had.

Teriakan ini akan kekal sentiasa. Walau ia akan membawa kepada kematiannya. Mereka akan terus hidup dengan memakan kesalahan yang mereka lakukan kepadanya. Dan penderitaannya akan sentiasa menghantui mereka.

February 08, 2009

Senandung Hari-hari Terakhir


BERIKAN dia hari ini kerana esok adalah waktu yang terlalu lama.

Dia semakin melemah. Mencari itu tiada mudah. Tetapi menunggu itu lebih payah.

Mereka mengatakan waktu akan mengubati segalanya. Masalahnya tanpa kau di sisi, waktu seakan terhenti lama.

February 07, 2009

Datanglah, Pulanglah, Dan Genggamlah Janji


GENGGAM sahaja. Usah gelisah. Persetan mereka. Setiap nafas dan darah.

Pulang sahaja. Jangan peduli. Dia menanti. Setiap malam dan pagi.

Datang sahaja. Tiada perlu ragu. Dia menunggu. Setiap ketukan pintu.

Raikan cinta. Menangis saja di pangkuannya. Kerana dia masih punya air mata yang tersimpan. Untuk sama-sama kau kongsikan.

February 06, 2009

Full To The Brim Part II: Locked Inside My Head


SETIAP kali selepas puas memikirkan kau. Ia pasti melaju.

Dan dia tertanya-tanya. Mengapa mesti keluarnya si air mata.

Air mata berkongsi pilu, “Seperti ada sesuatu yang sangat utama di ruang matamu. Sesuatu yang lebih utama sehingga aku merasakan tiada lagi tempat untuk aku.”

February 05, 2009

Aku Benci Kerinduan Dan Kesepian Ini


“Aku benci kerinduan ini. Aku rindu kesepian ini. Dan aku sepi kebencian ini.”

“Aku sepi kerinduan ini. Aku rindu kebencian ini. Dan aku benci kesepian ini.”

“Aku benci kebencian ini. Aku rindu kerinduan ini. Dan aku sepi kesepian ini.”

February 04, 2009

Frustrasi Kesuma Dewi Part V


KAU tiada, pernah dia biarkan Super Supreme Stuffed Crust Pizza mengeras di atas meja. Ada dia tinggalkan Iced Caramel Macchiato yang telah dibayar tiada dihirup.

Kau tiada, pernah dia berikan kepada entah siapa-siapa Strawberry Swirl Cheesecake yang sudah dibungkus. Ada dia tersimpan Vochelle Fruit & Nut In Dark Chocolate sehingga berkulat.

Kau tiada, pernah dia sekadar berbual dengan Kenny’s Chicken Meal Original. Ada dia biarkan Baskin Robbins Banana Royale berubah air.

Kau tiada, semua perjamuan, semua hidangan di dunia, seperti tiada ertinya.

February 03, 2009

Dan Pesan Nenek Itu Benar


INI pesan semasa kecil. Sekecil mana dia ketika itu dia tetap teringat kerana ini pesan yang diulang-ulang. Pesan yang didodoi-dodoi.

“Sayangi semua makhluk yang bernyawa. Kalau berjanji genggam sampai mati. Sayangi semua makhluk yang bernyawa. Kalau berjanji genggam sampai mati.”

Setelah dia sedikit besar neneknya berpesan lagi. Pesan ini juga tetap dia teringat walau pesan ini tiada diulang-ulang. Tiada didodoi-dodoi.

“Kau cucu, bila nanti tiba masa kau akan diuji. Akan ada kejahatan syaitan angkara makhluk yang dengki dan iri. Lawanlah mereka dengan akal. Lawanlah mereka dengan sabar.”

“Tapi cucu, bila kau tiada mampu menawar kejahatan itu pulanglah ke Negeri Suro Dan Boyo. Cari sesepuhmu di sana. Mereka akan sudi membantu dan selalu bersedia.”

“Dan cucu, bila kau sangat memerlu pulanglah sahaja ke Negeri Bundo Kanduang ke desa nenek sebelah ibumu. Tetap akan ada orang-orang sakti di situ.”

Aduhai nenek! Ia benar-benar telah terjadi hari ini. Tapi bila akal dan sabar seperti sudah tiada terasa dia jadi bingung. Maksudnya melawan sihir harus dengan sihir?

February 02, 2009

Frustrasi Kesuma Dewi Part IV


DIMULAI dengan kerinduan. Yang membeban. Melelahkan jiwa sememang telah lelah tanpa perlu dilelah-lelahkan lagi.

Ditengahi dengan semangat. Yang menggenggam. Menimang janji yang dulu sama-sama berjanji tiada akan memungkiri perjanjian.

Diakhiri dengan harapan. Yang menyungguh. Menguji hati hingga dasarnya jika diperhatikan seperti sudah hilang perhatian.

February 01, 2009

Alunan Irama Langut Jejakmu


“Di luar halaman masih ada jejakmu. Mencebik, bila wajah dipanah matahari.”

“Di ruang tamu juga ada jejakmu. Sesedap membantal ribaku, menonton siaran.”

“Di bilik mandi lagi ada jejakmu. Mengeluh air yang dingin, memanggil mengajak untuk menghangatkan.”

“Di tempat tidur tetap ada jejakmu. Membelai usap rambutku, setelah aku terlena.”

  

Back to TOP