February 12, 2009

Bertahan Dalam Masyghul


TERASA setiap keluhan, ratapan, dan sesalan semakin melilit-lilit sesakan nafas. Itu belum lagi ditambah soalan-soalan yang masih tiada terjawab puas. Hampir terkorban jiwa, hampir terputus nadi. Soalan-soalan mengapa begitu dan kenapa tiada begini.

Suara-suara dalam hati semakin nyata.

“Kalau mahu menyerang, bukan sekarang. Nanti dulu. Himpunkan segala mantera.”

“Kalau mahu menyerang, jangan sekarang. Tunggu dulu. Kumpulkan segala tenaga.”

“Bertahanlah diri. Bertahan untuk beberapa waktu lagi. Bertahanlah tetapi jangan sampai mati.”

Mati rasa, dalam masyghul dia bertahan. Membayang kasih, dalam malam hitam kelam berselimut kegelapan. Dalam hati pualam berangti bertinggal kesepian.

“Dear God, can we talk?”

February 11, 2009

Mengarca Hiba Minda Bersaru


DIA ke hutan itu petang tadi. Di sisi paya duduk sendiri-sendiri. Bersedih-sedih dan bercucur-cucur air mata membasah-basah pipi. Tiada tergambarkan hati yang sudah lama berangti.

Sambil memanggil-manggil nama Tuhan, dia memujuk-mujuk diri.

Dia hanyutkan jiwa dengan bersatu bersama alam. Bunga-bunga hutan kembang pasparagam. Matahari menyuluh sangat pegari. Ternyata di hutan tiada yang sepi.

Para belalang mencuba melompati akar. Semut-semut kecil berperahu daun damar. Sesekali ikan-ikan timbul bermain udara. Dia menanti juga, mudah-mudahan ada ular bisa yang mahu menjadikannya sebagai mangsa.

Dalam berkhayal-khayal, dia teringat hikayat semalam.

Hikayat Dewi Jadian yang pernah hidup tapi kosong, bernyawa tapi terpaksa. Namun akhirnya kegagahan membuat diri terbina semula. Dia jadi cemburu dengan kegagahan itu. Hingga mula membanding-banding dengan betapa semakin menghilangnya kegagahannya dahulu.

Dia duduk lagi sendiri-sendiri. Dia mengajak dirinya mengarca hiba. Menyelami betapa pahitnya minda bersaru. Dan semakin berat dia rasakan lagi ketika daun-daun jatuh berguguran menyentuh bahu.

“Tiadakah kau tahu yang aku bersungguh-sungguh rindu?”

“Searching for the answer of the pray. When will we see ourselves again?”

* Inspired by Hikayat Dewi Kumbang.

February 10, 2009

Mereka Tidak Semestinya Menang


KADANG-KADANG dia berkelakar sendiri-sendiri. Memerhati gelagat mereka riang bertari. Apalah yang dibangga dengan sangat. Cuma kemenangan sementara yang mereka dapat.

Pertarungan ini tiada adil. Kemenangan mereka kemenangan bersihir.

Di sisinya keris masih tersimpan. Peluru meriam masih dirahsiakan. Dan obor api masih belum dinyala. Kerana pertarungan akhir masih belum bermula.

Dia tiada fikir maruah yang akan tercela. Aib yang bakal ternganga. Atau pekat arang yang nanti menghitam muka.

Sepertinya dia kehabisan pilihan. Apa yang dia fikir hanya ada satu tujuan. Dan tujuan itu harus dia selesaikan.

People will do anything to win love.

* Inspired by Elizabeth Wong’s nude pictures scandal.

February 09, 2009

Teriakan Ini Kekal


TERIAKAN ini akan kekal sentiasa. Ia menjadi sebahagian hidupnya.

Tiada mengira kesakitan ini seperit mana. Dia akan terus hidup untuk tinggal di dalamnya. Dalam penyerahan melihat pengitaran kehidupan. Dalam kepayahan meneruskan pengembaraan.

Teriakan ini akan kekal sentiasa. Ia menyimbolkan tahap tertinggi dalam setia.

Kau dan dia telah menjelajah keintiman diri. Dan dia sedar tentang penerusan janji-janji. Teriakan ini kenal penyeksaan yang terhebat. Yang tiada had.

Teriakan ini akan kekal sentiasa. Walau ia akan membawa kepada kematiannya. Mereka akan terus hidup dengan memakan kesalahan yang mereka lakukan kepadanya. Dan penderitaannya akan sentiasa menghantui mereka.

February 08, 2009

Senandung Hari-hari Terakhir


BERIKAN dia hari ini kerana esok adalah waktu yang terlalu lama.

Dia semakin melemah. Mencari itu tiada mudah. Tetapi menunggu itu lebih payah.

Mereka mengatakan waktu akan mengubati segalanya. Masalahnya tanpa kau di sisi, waktu seakan terhenti lama.

February 07, 2009

Datanglah, Pulanglah, Dan Genggamlah Janji


GENGGAM sahaja. Usah gelisah. Persetan mereka. Setiap nafas dan darah.

Pulang sahaja. Jangan peduli. Dia menanti. Setiap malam dan pagi.

Datang sahaja. Tiada perlu ragu. Dia menunggu. Setiap ketukan pintu.

Raikan cinta. Menangis saja di pangkuannya. Kerana dia masih punya air mata yang tersimpan. Untuk sama-sama kau kongsikan.

  

Back to TOP