November 03, 2010

Rendah Gunung, Tinggi Harapan


“Aduhai! Betapa malang nasib beta.”

“Sudahlah kerajaan habis dilanggar, istana roboh tiada terbina. Gila melamun bertakhta di kayang khayalan pula.”

“Ah! Kerajaan di kayang dikhayal-khayal. Istana bertiang tiada muasal. Memang ajaib tiang seri ini. Tiada ternampakkan tetapi teguh memaksi.”

“Tiang seri halimunan, tiang seri penyeri. Tiang seri penunjang yang bersakti. Entah tetap berdiri entah nanti tiada sudi. Entah beta yang perasan sendiri-sendiri.”

LALU bagaimana berangan-angan merajai cinta yang dijanjikan? Warisan buat mengembalikan kegemilangan? Andai hikayat-hikayat tiada dikaji dan dilihat keseluruhan?

Anak kunci Kerajaan Cinta. Masuk dan putarlah ia. Mungkin tiada menjawab kepada persoalan. Tetapi membawa jalan kepada jawapan.

Fitrah sepanjang-panjang tali tetap berpenghujung jua.

November 02, 2010

Berpuluh Kumbang Terbang Part II


DI JAMBAR pondok, di tepi terjal. Dari lubang kecil dia intai.

Ah! Terjali berpuluh kumbang seri berwarna-warni. Duduk terpuruk masyghul di hati. Bersedu lara termenung sendiri-sendiri. Rintihan-rintihan, gigilan-gigilan, dan dengungan-dengungan asmaraloka silih berganti.

Setiap satu bagi setiap emosi. Setiap satu bagi setiap ucap yang tiada dia terluahkan. Dan setiap satu bagi setiap keengganan untuk keluar walau dengan peluang dia sediakan.

Laksana mutia di dalam balang. Berhati-hati kesedihan dia gali perlina hilang. Lubang kecil dia siat-siat dan dia koyak-koyak. Agar dunia luas serba putih di luar mereka nampak.

Hari demi hari, waktu demi waktu. Berpuluh kumbang seri, terbang keluar satu persatu.

Setiap satu bagi setiap emosi. Setiap satu bagi setiap kisah yang tiada dia terlupakan. Dan setiap satu bagi setiap ucap yang tiada mereka terluahkan, “Terima kasih.”

* Inspired & credited to Dewi Kumbang.

November 01, 2010

Berpuluh Kumbang Terbang


DIA jatuh tiada bertenaga. Tertutup mata takut setakut-takutnya. Berapa laju berapa jauh dia tiada pasti. Hanya geseran-geseran kosong melanggar hujung sayap kanan dan kiri.

Terhenti dia tiba-tiba. Begitu sahaja. Permukaan dirasa bila suhu nafas ketakutan memantul ke wajah. Kurang suku saat sebelum dia benar-benar terhempas pecah.

Berhati-hati dia sentuh permukaan dengan kaki. Sebelum tersedar yang dia sudah berdiri. Mata dibuka melihat sisi. Dunia luas serba putih dikelilingi.

Berjalan dia termangu-mangu. Di mana dan ke mana dia tiada tahu. Mendengar tiada apa berbunyi. Walau hentakan tapak kakinya sendiri.

  

Back to TOP