July 01, 2010

Cumbu Rayu Yang Membuat Kita Rindu


JIWA terlelap. Terlena dalam cinta penuh harap. Kerana takdir tiada pernah memisahkan. Hanya manusia-manusia yang berkeinginan.

Tubuh memberontak untuk terus hidup dan bertahan. Mungkin hingga saat kematian datang dan mengheret kita kepada Tuhan.

Lalu hati yang mati suri tiba-tiba bernyawa.

Tangisan kini menjadi semarak api menyala. Sebal nurani membeku dusta pada bening mata. Yang tinggal hanya dua.

Dan satu kerinduan.

* Inspired by Hikayat Dewi Kumbang.

May 01, 2010

Penggerhanaan Harap Namun Tetap Emis


DIA mimpikan kau menjelma matahari.

Tangan kau mendidih dia sentuh hiba. Dalam silau berusaha dia memandang cahaya dan bara.

Ah! Kau membakar matanya!

Kau semakin membahang. Tubuhnya terus-terusan kau panggang.

Awan-awan tumpang berduka. Menumpah hujan ke kolam mata. Bumi dipijak mengorban diri. Melinang air mendingin kaki.

Mulut kempuh tetap dia gagah. Mengagungkan kau walau terasa darah.

December 10, 2009

Bergetar Bibir Memanggilmu


JERITAN mengoyak bibir-bibir keringnya hingga merekah. Suara yang dia sendiri mendengar tiada pernah. Dipaksa keluar segala bunyi bersahut ratap dan darah.

Gerak bibir tiada perbezaan, kata apa ingin dilontar dia tiada tahu. Antara hiba dengan ketiadaadilan, yang mana harus diraung dahulu?

Suara di udara tersiat bagai dikelar-kelar. Tekaknya berpintal terbakar. Berjerih sendi berdenyut urat menyambar-nyambar. Dan rintihnya berulang-ulang mendatar.

Terhenti tiba-tiba segala jeritan. Senyap hampir membuat tubuhnya hilang kawalan. Batuk berbaur dengan sedan.

Diatur semula nafas perlahan. Dan di saat itulah bibirnya bergetaran.

December 01, 2009

Sirat Tersurat


DIA berdiri membuka mata. Bingung merenung dunia. Dia tertanya mengapa di sini tempatnya. Siapa sebenarnya dia.

Dia menjadi satu dengan alam. Di dalam keseksaan dia terbenam. Tiada tahu apa-apa setelah merasai segala-segalanya. Melihat dunia dengan mata yang terbuka. Berjemur dengan kesedihan tiada peri. Memadamkan nyalaan api.

Tenggelam. Terjunam. Menyaksi kekeliruan dunia.

November 10, 2009

Surat Tersirat


DIA duduk menutup mata. Tenang merenung dunia. Dia tahu mengapa di sini dia berada. Dia kenal siapa dia.

Dia menjadi satu dengan alam. Di dalam kesentosaan dia membenam. Tahu segala-segalanya tanpa merasai apa-apa. Melihat dunia dengan menutup mata. Berjemur dengan kebahagiaan tiada peri. Menghidupkan nyalaan api.

Terawang-awang. Terbang. Menikmati kesempurnaan dunia.

October 23, 2009

Paksakan Cinta Ini


MALAM berarak. Gelap, hitam, dan sejuk tersentak-sentak.

Dia duduk sendiri-sendiri. Lalu bintang membisik di hati. “Ada yang telah membuatmu menangis, akankah kau meninggalkannya di situ?”

Dia tunduk diam-diam. Kemudian bintang dipandang tajam. “Wahai bintang, akankah kau meninggalkan langitmu itu?”

  

Back to TOP