December 22, 2010

Terang Dan Terlindung


“Tusukan harum cempaka,
Memutar seluruh alam;
Capai bahasa kita,
Antara rindu dendam.”

“Janji dulu dilafaz,
Masih lekat tersimpan;
Di dalam rongga nafas,
Untuk dihela senang.”

BERLALU petang sia-sia. Waktu bernilai tiada. Sekitarnya mulai berkarat. Debu di rambut semakin memberat.

Kucing beransur tua. Emas sekati jadi bahara. Di luar rumput meninggi. Jemu dia lihat seribu kali pelangi.

Aduhai! Dia yang mengejar, dia sendiri yang terperangkap.

* Credited to Dewi Kumbang.

December 21, 2010

Kasih Bukan Sekadar Cinta


KERLIP masih beberapa butir di angkasa raya; merembes-rembes. Embun masih beberapa cubit di halaman saujana; menitis-nitis.

Itu maksudnya malam masih muda. Jangan dulu lena memejam mata. Kerana dia ingin menyampai petanda.

Gelap malam tiada mengasbab mata jadi layu. Dingin angin tiada mengasbab tulang jadi ngilu. Biar sahaja tingkap itu. Kau akan mendengarnya bila sampai waktu.

Tiada apa menyekat bila dia mula bersuara. Kerana suaranya suara sukma. Dan kau tiada perlu bertelinga.

Hanya dengarkan di detak-detak hati. Dan di denyut-denyut nadi.

* Inspired by Ylmarmin Ah-Haidan.

December 20, 2010

Penyeri Cetera Mimpi


BUAIAN khayalan pentasan peterana.

Mengakibat keinginan dan kemahuan di sudut serata. Di selatan hati dan terkini di utara. Di timur juga. Barat antara yang mungkin, bahkan menyentap di tengah-tengah hatinya.

Namun dia sedar di dalam perlumbaan seperti ini, tiada pingat untuk tempat kedua.

Ah! Bila lagi agaknya tahi bintang akan melintas?

December 10, 2010

Pendaman Part II: Tiang Seri Halimunan


BAHAGIAN yang paling sukar menjadi dinding batu tembok adalah ia tiada boleh hancur. Ia harus berdiri kukuh. Menunjang kuat dan memaksi teguh.

Ia tiada boleh hancur.

Andai ia goyah hingga membiar penyandar terlepas dari bahunya lalu runtuh (terpecah berjuta keping hingga tiada lagi dapat menyatu semula) maka penyandar yang memerlukannya untuk menahan diri mencari kuat juga turut rebah.

Pengakhirannya akan meluluhkan seperti kepingan-kepingan kristal rapuh yang tiada mampu lagi tercantumkan.

Batu tembok tiada boleh hancur.

December 03, 2010

Alangkah Lebih Baik Jika Kau Bunuh Sahaja Aku


“Daripada aku tertunggu-tunggu. Tertanya-tanya termangu-mangu. Entah hidup entah mati. Entah sudah terbang tinggi.”

“Atau galikan aku lubang kuburan. Cukup untuk muat aku satu badan. Di tanah merah dan berselut. Baringkan aku hidup-hidup.”

“Hujan akan mendinginkan. Kemudian panas mengeringkan. Tiada siapa akan aku panggil menemani. Hanya berdiam di istirehat ini.”

“Berbaringan aku di dalam tanah. Menghirup nafas-nafas akhir dari bawah. Meski nanti klaustrofobia menyerang pantas. Aku lebih aman dari seksa-seksa di atas.”

“Ah! Mungkin kau rasakan tujuh kaki ini belum cukup dalam. Galikan lagi supaya aku lebih jauh terbenam.”

December 02, 2010

Pendaman


SEGALA sir, semua rahsia, dan setiap hakikat yang dia tiada pernah menceritakan, terutama kepada kalian semua, dia tuliskan di dinding batu tembok yang ada.

Batu tembok itu hanya sesuatu yang dia percaya. Kerana ia tiada mungkin memberitahu sesiapa.

Dia asyikkan sejuta mimpi. Cerita angan-angan, harapan, dan naluri. Hingga tulisan-tulisan di batu tembok mulai penuh dan meninggi. Di antara satu sama lain ada yang bertindihan sesama sendiri.

Begitu banyak kisah yang sepatut dia diamkan. Berapa banyak perkara yang sepatut dia sembunyikan. Betapa yang lain tiada dia percayai. Batu temboknya adalah kecuali.

Dan di situ menjadi tempat untuk dia cuba bersandarkan.

December 01, 2010

Fiksi Kasut Cinta


SUATU masa dahulu, Sang Puteri punya kasut impian. Tiada siapa memberi kerana ia atas usahanya mendapatkan.

Dia mendewasa dan mereka mula memaksanya dengan kasut baru. Mati-mati dia tiada mahu. Setia dengan kasut yang ini. Walau tiada hebat dia selesa setiap kali menari.

Suatu hari kasut kesayangan Sang Puteri disembunyi. Mereka menyusun kasut-kasut baru dengan konon dia sukai. Bahkan tiada dia endah. Sanggup dan rela kaki-kaki dibiar dedah.

Undangan ke majlis malam tari dia terima. Kasut sanjungan puas dicari akhirnya jumpa. Berhati-hati menyusup keluar dengan kasut di sebalik badan. Ah! Rupa-rupanya mereka telah perasan.

“Kau! Kau anak tiada guna.”

“Semasa aku kecil, aku tiada seperti ini. Dengan kasut buruk ke majlis tari?”

“Kau menari dengan kasut sebegitu? Kau memang bukan anak aku!”

Sang Puteri terpaku. Matanya mengerdip laju. Mencuba untuk memahami baris akhir kata-kata itu.

“Jika aku bukan anakmu, jadi kau itu ayah siapa?”

Dia memang tiada pernah menjawab. Tetapi kali ini dia jadi berani hilang gagap. Suaranya mungkin tiada keras. Namun sudah cukup membuat dia puas.

Sang Puteri terus berlari tetapi ibu sudah berdiri menghalang di antara pintu.

“Aku anak siapa wahai ibu?”

Ibu cuma merenung serba salah. Dia beralih ke tingkap sebelah. Dengan baki kekuatan, dia rempuh hingga terbuka pecah. Beribu serpihan kaca menyalut seluruh tubuh berhias luka dan darah.

“Baiklah, kau anak kami. Anak kami sememang hanya suka berkasut lama.”

Jawab ibu melutut lemah tiada daya. Sementara ayah mematung diri terdiam nganga. Dan semua ini bermula dengan sepasang kasut cinta yang tiada pernah Sang Puteri terlupakan.

* Inspired by Princess Qierra Sophea.

  

Back to TOP